Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Demi keselamatan, Selangor tunda program skala besar

PELABUHAN KLANG, 12 MAC: Selangor menangguhkan semua program berskala besar anjurannya yang tidak bersifat kritikal susulan perkembangan membimbangkan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan wabak yang diisytihar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pandemik (tersebar luas).

“Antara program berskala besar yang ditangguhkan adalah Karnival Tanah Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang dijadualkan Sabtu ini.

“Turut ditangguhkan Karnival Kerjaya Jobvaganza @ DUN Bukit Melawati pada Ahad (15 Mac),” katanya ditemui pemberita selepas lawatan ke Pusat Logistik Pelabuhan Barat di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin dalam kenyataan hari ini berkata sekiranya program yang dianjurkan kritikal dan tidak dapat dielakkan, maka langkah pencegahan lain akan dikuat kuasakan sewaktu program berlangsung.

“Kerajaan Negeri mengambil berat kemaslahatan umum dan akan melaksanakan segala langkah yang perlu bagi membendung merebaknya virus ini.

“Langkah pencegahan seperti yang digariskan oleh KKM seperti pemakaian tutup muka dan pengunaan cecair pembasmi kumar wajar dipatuhi bagi mengelakkan berlaku jangkitan,” katanya.