Categories
SELANGOR

Covid-19: FAS proaktif bendung penularan, patuhi panduan

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melaksanakan pelbagai langkah dan pencegahan bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan pemain, jurulatih dan juga petugasnya.

Menurut Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon, semua fasiliti di padang latihan persatuan itu termasuk gimnasium, bilik tukar pakaian, ruang lepak pemain dan juga pejabat mereka di Shah Alam sentiasa dipastikan dalam keadaan baik serta bersih.

Beliau menegaskan FAS komited sepenuhnya mencegah penularan virus itu bukan hanya dalam kalangan pemain dan petugasnya malah penduduk Selangor dan rakyat Malaysia secara am.

“Penularan virus Covid-19 perkara diambil serius oleh pengurusan FAS. Kami sedar bahawa ia bukan perkara yang boleh kami ambil mudah dan kami terus berusaha bersungguh-sungguh memastikan keselamatan pemain serta petugas kami,” katanya di laman sesawang FAS https://faselangor.my.

Meskipun operasi di padang latihan FAS ditutup sementara susulan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan, Johan berkata petugas kejurulatihan mengeluarkan pelan diet dan kesihatan untuk semua pemain bagi memastikan mereka berada dalam keadaan fizikal yang baik apabila Liga Malaysia disambung semula.

“Kami turut mengingatkan petugas dan pemain mematuhi garis panduan keselamatan disahkan kerajaan Malaysia dan langkah pencegahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pengurusan FAS juga mengeluarkan memorandum memaklumkan semua pemain, pegawai dan petugasnya mengenai status waktu pejabat itu beroperasi, perintah sekatan pergerakan untuk perjalanan ke luar negara selain larangan perjalanan rentas negeri dalam usaha membendung penularan pandemik itu.

-BERNAMA