Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Gesa kontrak staf perubatan tamat, bersara disambung

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Susulan penularan jangkitan Covid-19 di dalam negara pada masa ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mencadangkan kepada kerajaan supaya mempertimbangkan untuk melanjutkan kontrak pegawai perubatan dan staf perubatan yang akan bersara.

Presiden MMA, Dr N Ganabaskaran dalam satu kenyataan hari ini berkata selain daripada menempatkan doktor pelatih untuk menguruskan kes Covid-19 seperti yang diumumkan semalam, kerajaan dicadangkan supaya melihat kepada cadangan ini juga.

“Kerajaan wajar memikirkan untuk mempercepatkan pembaharuan kontrak pegawai perubatan yang baharu dilepaskan daripada tugas selepas kontrak dua tahun mereka tamat.

Ini akan menambah personel terlatih ke dalam kumpulan. Pelanjutan kontrak jangka pendek kepada mereka yang akan bersara harus dipertimbangkan untuk mengukuhkan perkhidmatan di wad, klinik dan bilik pembedahan sementara generasi muda berkhidmat di barisan hadapan,” katanya.

Sementara itu, persatuan itu juga menekankan kepentingan rawatan asas dalam menguruskan keadaan itu kerana Malaysia mempunyai 7,000 pengamal perubatan umum seluruh negara yang boleh membantu Kementerian Kesihatan dalam proses tapisan kesihatan.

– BERNAMA