Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: IATA gesa slot penerbangan digantung

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) kini dalam proses menghubungi pihak pengawal selia penerbangan di serata dunia bagi menggesa supaya pelaksanaan peraturan peruntukan slot di lapangan terbang semasa dan musim 2020 digantung serta-merta susulan impak penularan Covid-19.

Kira-kira 43 peratus daripada keseluruhan penumpang berlepas menerusi lebih daripada 200 slot yang diselaraskan di peringkat lapangan terbang di seluruh dunia.

Pada masa ini, peraturan slot itu menetapkan bahawa satu-satu syarikat penerbangan itu perlu mengoperasikan kira-kira 80 peratus peruntukan itu di bawah keadaan biasa dan kegagalan mematuhi syarat tersebut boleh menyebabkannya kehilangan hak terhadap slot itu pada musim berikutnya.

Namun, di bawah faktor keadaan di luar jangka, pengawal selia terbabit boleh memberi kelonggaran terhadap peraturan berkenaan.

“Kami menggesa pengawal selia untuk membantu pihak industri membuat perancangan susulan keadaan kecemasan hari ini dan pemulihan di masa depan dengan menggantung pelaksanaan peraturan slot tersebut untuk sementara ini,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac dalam satu kenyataan.

IATA mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan yang meliputi 82 peratus daripada aliran trafik udara di peringkat global.

Dalam pada itu, kajian IATA menunjukkan aliran trafik penerbangan bagi laluan utama Asia telah lumpuh dan kesan ini dirasai di seluruh rangkaian pengangkutan udara di peringkat global, termasuk di negara-negara yang tidak mencatat sebarang penularan Covid-19.

“Terdapat elemen duluan (penggantungan slot) sebelum ini dan kami percaya senario hari ini memerlukan pelaksanaan semula penggantungan itu.”

Dalam pada itu, De Juniac berkata, dunia berdepan cabaran getir untuk mengelak penularan Covid-19 dalam usaha memastikan ekonomi global terus berfungsi.

Krisis Covid-19 itu terbukti memberi impak besar terhadap trafik udara dan syarikat penerbangan berdepan penyusutan permintaan yang ketara.

Ini termasuk :

– Sebuah syarikat penerbangan mencatat penyusutan sebanyak 26 peratus membabitkan keseluruhan operasi berbanding tahun lepas.

– Satu hab penerbangan melaporkan bahawa tempahan ke Itali merosot 108 peratus apabila ia mencecah sifar dan menyebabkan kos bayaran balik terus bertambah.

– Banyak syarikat penerbangan melaporkan insiden penumpang tidak hadir yang mencecah 50 peratus di beberapa pasaran.

– Tempahan bagi masa depan dilaporkan susut dan syarikat penerbangan terpaksa melaksanakan tindakan seperti anak kapal diberi cuti tanpa gaji, peningkatan gaji dibekukan dan rancangan untuk mengurangkan penggunaan pesawat.

Oleh itu, kata IATA, berdasarkan langkah luar biasa ini akibat kecemasan membabitkan kesihatan umum, pandangan kolektif pihak industri penerbangan adalah bahawa keputusan mengguna pakai 80 peratus daripada ketetapan itu pada musim akan datang adalah disifatkan sebagai tidak wajar.

Menurutnya, syarikat penerbangan perlu diberi kelonggaran untuk melaras jadual masing-masing mengikut perkembangan tuntutan luar biasa ini.

Kalangan pengawal selia telah melonggarkan ketetapan berhubung slot penerbangan itu pada asas semasa ketika krisis Covid-19, terutamanya bagi operasi ke China dan Hong Kong.

Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan semasa, perkara itu tidak lagi membabitkan pasaran Asia.

“Berikutan ketidakpastian mengenai kelonggaran ini diteruskan sehingga musim panas (atau musim sejuk di hemisfera selatan), syarikat-syarikat penerbangan tidak dapat membuat perancangan jelas bagi memastikan keberkesanan penjadualan kerja anak kapal serta penggunaan pesawat,” kata IATA.

Penggantungan peraturan slot itu bagi keseluruhan musim (sehingga Oktober 2020) juga bermakna syarikat penerbangan boleh memberi respon terhadap situasi pasaran mengikut tahap kapasiti sesuai dan mengelak sebarang keperluan untuk menjalankan perkhidmatan pesawat yang kosong semata-mata untuk mengekalkan slot tersebut.

Pada masa sama, pesawat terbabit boleh digunakan untuk laluan lain atau tidak digunakan manakala anak kapal mempunyai kepastian terhadap jadual kerja masing-masing.

– BERNAMA