Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Kes positif di Singapura meningkat 130, 82 pulih

SINGAPURA, 7 MAC: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pada Jumaat melaporkan 13 lagi kes baharu jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kes positif di republik itu kepada 130.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, MOH berkata sembilan kes baharu itu adalah sebahagian daripada kluster baharu melibatkan satu majlis makan malam persendirian di SAFRA Jurong, 333, Boon Lay Way, 15 Februari lepas.

Secara keseluruhan, kementerian itu berkata 17 daripada kes yang disahkan berkait dengan kluster itu.

Menurut MOH, dua kes lagi berkemungkinan dari luar negara.

Seorang daripada mereka melibatkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 47 tahun yang berada di Afrika Selatan dari 14 hingga 17 Februari dan Perancis dari 22 hingga 24 Februari.

Satu lagi kes yang kemungkinan merupakan kes dari luar melibatkan seorang wanita pemastautin tetap Singapura berusia 37 tahun yang melawat Jerman dari 27 Februari hingga 5 Mac.

Sementara itu, MOH berkata seorang daripada dua kes berada dalam wad sama dengan Kes 109 di Hospital Besar Singapura dari 29 Februari hingga 1 Mac, sebelum dia disahkan dijangkiti Covid-19.

Untuk kes baharu lain, MOH berkata ia tidak berkait dengan sebarang kes dan merupakan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 55 tahun yang bekerja dengan syarikat telekomunikasi, SingTel.

Seorang lelaki, kru kabin Singapore Airlines, tidak pergi bekerja sejak mula mengalami simptom pada 27 Februari lepas, kata MOH.

Mengenai perkembangan terkini kes yang disahkan, MOH berkata satu lagi kes jangkitan Covid-19 didiscaj daripada hospital semalam, menjadikan jumlah mereka yang pulih sepenuhnya ialah 82.

Daripada 48 kes yang disahkan dan masih berada di hospital, kebanyakan mereka berada dalam keadaan stabil sementara sembilan dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi, katanya.

Setakat 6 Mac, MOH mengenal pasti 3,366 kontak rapat yang dikuarantin.

– BERNAMA