Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: KKM gesa perhimpunan orang ramai ditangguhkan

OLEH AMIN RIDZUAN ISHAK

SHAH ALAM, 12 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa semua perhimpunan membabitkan orang ramai ditangguhkan bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata individu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan juga dinasihatkan tidak menghadiri program membabitkan orang ramai atau tempat padat termasuk aktiviti keagamaan.

“Individu yang bergejala dinasihatkan menjarakkan diri (social distancing) sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain.

“KKM menasihatkan orang ramai tidak melancong ke luar negara terutama yang sedang mengalami wabak jangkitan Covid-19. Rakyat Malaysia yang bergejala jangkitan saluran pernafasan juga diminta tidak melawat kawasan lain di Malaysia semasa cuti sekolah,” katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya hari ini.

Mengikut statistik dikeluarkan KKM, sebanyak 149 kes positif Covid-19 disahkan di Malaysia sehingga semalam membabitkan 131 rakyat tempatan, 15 warga China dan tiga dari lain-lain negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 22 kes adalah dalam kalangan pesakit di bawah siasatan atau Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan Covid-19, kontak rapat (124 kes), misi bantuan kemanusiaan (dua kes) dan satu kes Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS).

Bagi peringkat global pula, sebanyak 126,064 kes wabak yang diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia semalam susulan penularannya yang semakin meningkat.

Daripada jumlah itu, seramai 68,211 pesakit pulih selepas menjalani rawatan.