Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: KSSB aktifkan pasukan tindakan kecemasan

SHAH ALAM, 12 MAC: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengaktifkan pasukan tindakan kecemasan (ERT) bagi mengawal penularan Covid-19 di Bangunan Darul Ehsan, kata ketua jabatan kualiti kesihatan, keselamatan dan persekitaran.

Mohamad Fadzli Yahya berkata langkah itu diambil sejak 10 Mac lalu dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor) susulan gelombang kedua wabak itu.

“ERT melakukan pemeriksaan pada 7.45 pagi terhadap petugas dan setakat ini tiada individu merekodkan suhu badan melebihi had. Kita menukar petugas pemeriksaan setiap dua jam bagi mengelakkan pendedahan berterusan,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan ini dilakukan sehingga indeks kes Covid-19 menurun dan disusuli arahan pihak pengurusan tertinggi.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan, 149 kes positif Covid-19 disahkan di Malaysia sehingga semalam membabitkan 131 rakyat tempatan, 15 warga China dan tiga dari lain-lain negara.

Daripada jumlah itu, 22 kes dalam kalangan pesakit di bawah siasatan atau Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan Covid-19, kontak rapat (124 kes), misi bantuan kemanusiaan (dua kes) dan satu kes Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS).