Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Malaysia bakal bawa pulang rakyat tempatan di Itali, Iran

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kerajaan dalam proses untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Iran dan Itali, berikutan situasi penularan Covid-19 yang semakin teruk di dua negara berkenaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri berkata seramai 65 rakyat Malaysia yang berada di Iran dan 323 di Itali akan dibawa pulang ke tanah air dalam misi tersebut.

“Kerajaan amat prihatin dengan nasib rakyat Malaysia yang berada di negara-negara yang terjejas teruk dengan wabak Covid-19 seperti China, Iran, Itali dan Korea Selatan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi stesen televisyen, malam ini.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini berjaya membawa pulang rakyat tempatan yang berada di Wuhan, China menerusi dua Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), masing-masing pada 4 dan 26 Februari.

Bagi misi pertama, kerajaan Malaysia berjaya membawa pulang 107 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Hubei, diikuti misi kedua melibatkan seramai 66 orang dari wilayah sama.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan meneruskan sekatan perjalanan untuk tiga wilayah di China iaitu Hubei, Jiangsu dan Zhejiang; wilayah Hokkaido di Jepun, Itali, Iran dan Korea Selatan.

Justeru, perdana menteri menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak melakukan perjalanan ke negara yang terjejas dengan Covid-19.

Di samping itu, Muhyiddin berkata kapal persiaran hanya dibenarkan berlabuh di negara ini untuk penambahan bekalan sahaja.

“Hanya kru warganegara Malaysia dibenarkan turun dari kapal dan mereka dikehendaki melalui saringan kesihatan,” katanya.

Pada 11 Mac lalu, Malaysia membuat keputusan menyekat sepenuhnya kemasukan rakyat Itali, Iran dan Korea Selatan, berkuat kuasa Jumaat (13 Mac).

-BERNAMA