Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Malaysia rekod kematian keempat

SHAH ALAM, 21 MAC: Jumlah kematian kes Covid-19 di Malaysia meningkat kepada empat orang dengan kes terbaharu membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun daripada kluster jemaah tabligh, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian kedua dalam tempoh 24 jam itu membabitkan kes ke-238 selepas mangsa dimasukkan ke Hospital Melaka pada 12 Mac 2020 dengan gejala Severe Acute Respiratory Infection.

“Beliau telah diberikan bantuan mesin pernafasan pada hari kelima kemasukan di wad isolasi dan ketika dalam penjagaan di unit rawatan rapi (ICU). Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 21 Mac 2020 jam 1.30 pagi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Kematian ketiga dilaporkan semalam melibatkan kes ke-152 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 58 tahun daripada kluster jemaah tabligh di Hospital Tawau, Sabah.

Beliau berkata sebanyak 153 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kes positif keseluruhan adalah 1,183 kes sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Berdasarkan siasatan awal, 90 daripada 153 kes baharu adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

Sehingga kini, seramai 37 kes positif Covid-19 sedang dirawat di ICU dan 23 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.