Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: MSN larang atlet ke lima negara

SHAH ALAM, 5 MAC: Semua atlet negara termasuk yang sedang membuat persiapan Olimpik Tokyo 2020 dilarang menjalani latihan dan menyertai kejohanan di lima negara susulan Covid-19, kata ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN).

Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata larangan membabitkan China, Korea, Itali, Iran dan Jepun berkuat kuasa bulan ini dan dipersetujui semua pihak, lapor Berita Harian.

“Kita patuhi nasihat Kementerian Kesihatan untuk elak atau pergi ke lima negara tersebut, malah tidak akan hantar atlet ke sana sepanjang bulan ini,” katanya.

Ahmad Shapawi berkata pihaknya juga tidak akan menyediakan peruntukan kepada mana-mana program utama, sasaran atau persahabatan dengan lima negara itu.

Beliau berkata MSN tidak mahu atlet beraksi dengan separuh hati atau dibelenggu kerisauan, namun akan memutuskan tindakan lanjut berdasarkan perkembangan semasa.