Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Orang ramai perlu maklum perjalanan keluar antara negeri – KPN

KUALA LUMPUR 17 MAC: Orang ramai yang mahu melakukan perjalanan antara negeri (domestik) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, perlu memaklum dan mengisytiharkan perjalanan mereka kepada polis menerusi pengisian borang makluman sebelum dibenar meneruskan perjalanan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata borang berkenaan disediakan di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis  sebagai langkah kawalan mengurangkan pergerakan orang ramai serta penularan  Covid-19.

“Individu yang mahu meneruskan perjalanan perlu hadir untuk memaklumkan status perjalanan mereka dan menyatakan sebab kukuh meneruskan perjalanan sebelum surat kebenaran dikeluarkan PDRM.

“Mana-mana individu boleh beri tahu pihak kami atau balai terdekat dan kami akan beri mereka dokumen menjelaskan pembawa dokumen ini telah maklumkan (pihak polis dan) dia perlu buat perjalanan atas sebab demikian.

“Ini perlu dan diyakini dapat menyekat penularan jangkitan Covid-19 di mana polis bertindak mengawal pergerakan orang ramai dari negeri ke negeri,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin, berkuat kuasa mulai tengah malam ini hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Abdul Hamid berkata sebanyak 156 IPD dan beratus-ratus balai lagi di seluruh negara akan dibekalkan borang berkenaan dan orang ramai boleh hadir untuk mendapatkannya.

– BERNAMA