Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Rakyat digesa tingkat kebersihan ruang dalaman

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Ketika rakyat Malaysia dinasihati berada dalam rumah susulan penularan Covid-19, kajian kesejahteraan ruang dalaman yang dijalankan pada 2019 mendapati enam daripada setiap 10 rumah mempunyai kualiti udara yang rendah.

Kajian dijalankan Nippon Paint terhadap 511 responden bertujuan mengakses tabiat pemilik rumah di Malaysia berkaitan kebersihan empat kawasan – ruang tamu, bilik tidur, bilik mandi dan dapur.

Pengurus Besar Nippon Paint Malaysia Group Gladys Goh dalam satu kenyataan berkata kajian dalam kalangan 255 ibu bapa juga menunjukkan lebih 70 peratus kanak-kanak di bawah usia 12 tahun secara purata menghabiskan 8 hingga 20 jam sehari di dalam rumah.

“Oleh itu, menjadi harapan kami agar semua pemilik kediaman di Malaysia akan lebih sedar, terdidik dan diperkasa untuk mengendalikan aspek kesejahteraan ruang dalaman dan berusaha menyediakan persekitaran lebih selamat.

“Kami mahu buktikan bagaimana kesejahteraan ruang dalaman adalah elemen ‘hampir tidak kelihatan’ dalam kehidupan kita namun ia mendatangkan bahaya jika diabaikan dan lebih relevan ketika ini dengan pendedahan kepada pelbagai jenis virus dan bakteria,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Nursejahtera Malaysia Datuk Dr Rajbans Singh berkata penting bagi memastikan kualiti udara di rumah pada tahap terbaik berikutan kesejahteraan persekitaran penting untuk kesihatan yang baik.

“Dalam menghadapi penularan Covid-19, sebahagian besar daripada kita mengambil pendekatan tinggal di dalam rumah untuk mengelak terdedah kepada risiko dijangkiti atau jatuh sakit jika berada di tempat yang sesak.

“Orang awam perlu faham bahawa kesejahteraan persekitaran adalah dimensi penting dalam Roda Kesejahteraan, yang merangkumi tujuh dimensi berkaitan kesihatan dan kesejahteraan menyeluruh individu – emosi, daya fikir, fizikal, sosial, persekitaran, kewangan dan kerohanian,” katanya dalam kenyataan bersama Nippon Paint Malaysia, semalam.

Katanya, orang ramai boleh merujuk kepada Garis Panduan Kesejahteraan Ruang Dalaman mengenai kepentingan kesejahteraan ruang dalaman rumah dan langkah praktikal mengenai cara untuk meminimumkan atau menghapuskan bahan cemar dalam rumah.

Garis panduan itu boleh dimuat turun di www.nipponpaint.com.my/indoorwellness.

-BERNAMA