Categories
SELANGOR

Covid-19: Rakyat setuju Perintah Kawalan Pergerakan

SHAH ALAM, 18 MAC: Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula semalam hingga 31 Mac bagi menangani wabak Covid-19, mendapat reaksi positif rakyat yang bersetuju dengan langkah itu.

Seorang kakitangan swasta, Hizzatul Nadia Abd Halim, 28, berkata ia kaedah terbaik berdasarkan statistik terkini virus terbabit yang semakin meningkat dari hari ke hari.

“Bagaimanapun, kawalan itu akan berkesan jika semua mematuhinya seperti hadkan masa di luar terutama yang ada anak kecil. Ia sekali gus dapat membendung penyebarannya,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Editor, Jeff Fakhrurrazi, 25, berkata perintah dikeluarkan adalah tindakan bijak bagi orang ramai menjarakkan diri ketika di tempat awam kerana kebanyakan rakyat suka menaiki kenderaan awam seperti transit aliran ringan untuk ke tempat kerja.

“Apabila kerajaan laksana perintah ini saya rasa kita perlu gunakan sebaiknya. Jika bekerja dari rumah perlu jujur, berintegriti dan patuh dengan arahan manakala sekiranya bercuti gunakan peluang itu untuk bersama keluarga,” katanya.

Manakala, kakitangan swasta, Noraizian Mohd Nor, 56, berpandangan kerajaan perlu memberi penjelasan berhubung pengumuman itu bagi mengelak keadaan panik di kalangan rakyat.

“Orang ramai juga dinasihatkan berpada-pada ketika membeli barangan keperluan,” katanya yang diberi cuti selama dua minggu.

Seorang pelajar, Sofia Sharizal, 19, berkata walaupun diberi pelepasan pulang ke kampung halaman tetapi beliau berasa lebih baik untuk menetap sahaja di rumah sewanya bagi menghindari Covid-19.

“Jika pulang ke kampung ia agak sukar terutama apabila ada kelas atas talian yang memerlukan kami untuk bergantung dengan internet,” katanya.

Tinjauan SelangorKini juga mendapati salah sebuah pangsapuri di Shah Alam lengang apabila kedai runcit, restoran dan dobi layan diri ditutup sementara kenderaan juga berkurangan di kawasan parkir berbumbung.