Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Satu lagi kematian, 15 keseluruhan

SHAH ALAM, 24 MAC: Satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiagaan dan Tindakan Krisis Kebangsaan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata laporan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif 15 kes kematian Covid-19 di Malaysia.

“Kes kematian ke 15 (kes ke-1519) adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun berasal dari Melaka, yang disyaki mempunyai kontak dengan kes positif Covid-19 (kes ke-703). Beliau menghadiri perjumpaan tabligh di Masjid Seri Petaling,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata pesakit itu mempunyai sejarah penyakit kronik dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar mulai 18 Mac lalu.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada 5.35 pagi, 24 Mac 2020. Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga,” katanya.