Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Warga emas 86 tahun kes baharu di Singapura

SINGAPURA, 17 MAC: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) telah melaporkan 17 kes baharu jangkitan Covid-19 di republik itu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 243 dengan pesakit tertua membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 86 tahun.

Menurut kenyataan MOH, dua daripada 17 kes itu tidak mempunyai kaitan dengan pesakit tertua rakyat Singapura tersebut yang tiada sejarah perjalanan ke negara dan rantau terjejas akibat Covid-19 baru-baru ini.

Dia disahkan dijangkiti virus itu pagi semalam dan ditempatkan di bilik isolasi Hospital Besar Singapura.

Kenyataan itu menyebut 11 lagi adalah kes import manakala empat dikaitkan dengan kes terdahulu.

Sementara itu, empat pesakit telah dibenarkan keluar hospital semalam, menjadikan jumlah yang pulih daripada jangkitan virus tersebut setakat ini ialah 109.

Daripada 134 kes yang disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala 13 lagi dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi dan setakat tengah hari, MOH mengenal pasti sejumlah 5,711 kontak rapat yang telah dikuarantin.

Menurut kenyataan itu, kesemua kes baharu tidak membabitkan rakyat Malaysia serta tidak mempunyai kaitan dengan perhimpunan ijtimak tabligh di sebuah masjid di Kuala Lumpur.

– BERNAMA