Categories
AGENDA NASIONAL

Dadah: Polis cadang syarikat kurier pasang mesin pengimbas, CCTV

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Penyediaan mesin pengimbas dan kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter penghantaran serta penerimaan barang syarikat kurier adalah antara cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah menerusi perkhidmatan itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata cadangan itu berikutan peningkatan kegiatan pengedaran dadah menerusi perkhidmatan berkenaan.

“Dalam perjumpaan pada 16 Januari lepas, seramai 74 wakil syarikat kurier yang hadir bersetuju bekerjasama dengan pihak polis.

“Mereka (syarikat kurier) sedar dengan modus operasi pengedar dadah yang dilihat semakin berleluasa menyeludup dadah menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya kepada Bernama.

Kamarulzaman berkata dalam usaha membanteras pengedaran dadah menerusi syarikat kurier, polis juga bercadang melancarkan Ops Posata (pemeriksaan kakitangan) bagi memastikan pekerja syarikat kurier bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Polis juga mahu orang hubungan diwujudkan dalam syarikat kurier bagi melaporkan sebarang kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah.

“Kempen Malaysia Bersih Dadah turut akan dibuat selain penglibatan syarikat-syarikat kurier sebagai medium pengantara dengan memaparkan pelekat di kenderaan kurier masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata sebanyak 25 kes membabitkan 18 tangkapan dibuat melibatkan pengedaran dadah menggunakan syarikat kurier dari 2017 hingga 2019.

“Pada tahun 2017, tujuh kes direkodkan namun tiada sebarang tangkapan dibuat. Pada 2018, tiga kes dengan tujuh tangkapan direkodkan,” katanya.

Kamarulzaman berkata bilangan kes terus meningkat dengan 15 kes dan 11 tangkapan pada tahun lepas.

“Daripada bilangan itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1 juta,” katanya.

– BERNAMA