Categories
ADN SELANGOR

DNS: Wakil rakyat kena fokus jaga kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 15 MAC: Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor (DNS) Kali Ke-14 Tahun 2020 mulai esok diharap lancar dan wakil rakyat terus fokus jaga kebajikan rakyat, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama.

Jamaliah Jamaluddin berkata walaupun terdapat banyak perubahan politik semasa terutama di peringkat Persekutuan namun semua pemimpin perlu bersifat matang.

“Saya harap semua wakil rakyat bersikap profesional dan terus fokus jaga kebajikan rakyat serta memajukan Selangor.

“Selain itu, tolong henti politikkan sesuatu perkara sebaliknya cuba selesaikan dengan baik dan elakkan bersikap emosional walaupun masing-masing berbeza parti,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor (DNS) Kali Ke-14 Tahun 2020 bakal berlangsung esok hingga 27 Mac ini.

Pembukaan sidang akan disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan penuh istiadat di Bangunan DNS di sini jam 9 pagi esok.