Categories
AGENDA NASIONAL

Empat maut Avanza langgar trak tunda di Johor

JOHOR BAHRU, 5 MAC: Empat maut manakala dua cedera ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah Toyota Avanza dan trak tunda di Kilometer 14 Jalan Endau-Mersing dekat Mersing hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata mangsa yang maut adalah pemandu Toyota Avanza, Tengku Zahid Tengku Endut, 52, dari Taman Permint Perdana, Kuala Terengganu dan tiga penumpangnya, Kamaruddin Salim Mualaf, 50, dari Jerteh, Terengganu serta Mohammad Nurul Haq Mohamad, 22, dan Muhammad Shazriq Adam, 19, kedua-duanya dari Kuala Telemong, Terengganu.

Beliau berkata dua yang cedera ringan, pemandu dan penumpang trak tunda, Ungku Mohd Sarizan Ungku Ahmad, 33, dan Moideen Seideli, 41, dari Felda Bukit Waha, Kota Tinggi.

“Polis menerima maklumat jam 4.15 pagi. Siasatan awal mendapati Avanza dari Endau menuju Mersing dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sehingga berlaku pelanggaran dengan trak tunda terbabit,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Penolong Penguasa Bomba Azhari Awi berkata dua jentera, sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dan dua kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi kejadian berserta 22 anggota.

Azhari berkata sejurus tiba, didapati  empat mangsa tersepit di dalam Avanza dan mereka kemudian disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Mersing.

Beliau berkata pemandu dan penumpang trak tunda  pula difahamkan keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan bomba.

– BERNAMA