Categories
AGENDA JENAYAH

Hampir RM100 juta masuk ke akaun pemegang amanah Yayasan Akalbudi – Saksi

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu terdapat kemasukan wang berjumlah hampir RM100 juta ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co, yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Mei 2016 hingga April 2018.

Pengurus Maybank cawangan Dataran Maybank, Leong Siew Kong, 56, berkata berdasarkan penyata kewangan Tetuan Lewis & Co, terdapat kemasukan berjumlah RM99,532,364.25 ke akaun itu menerusi 129 transaksi.

“Sebanyak 112 daripada 129 transaksi itu melalui cek manakala selebihnya menerusi kredit,” katanya ketika membaca penyataan saksi pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin.

Beliau berkata demikian pada hari ke-19 perbicaraan kes Ahmad Zahid, 67, yang berdepan 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi, lapan pertuduhan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, saksi pendakwaan ke-39 itu berkata transaksi keluar masuk wang membabitkan Tetuan Lewis & Co adalah transaksi biasa dan tidak mencetuskan ‘red flag’ di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Leong bersetuju dengan Ahmad Sazilee bahawa tidak ada jumlah yang mencurigakan dan boleh mencetuskan ‘red flag’ AMLA dalam transaksi keluar masuk wang daripada akaun Tetuan Lewis & Co.

Saksi itu berkata semua transaksi sama ada daripada akaun semasa atau akaun simpanan tetap pelanggan adalah transaksi biasa mengikut syarat yang ditetapkan bank.

“Untuk semua akaun, mesti ada surat aku janji. Jika tidak ada surat ini, tidak boleh buka akaun kerana itu merupakan prosedur,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat ini.

– BERNAMA