Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Idrus Harun ganti Tommy Thomas, kuat kuasa hari ini

SHAH ALAM, 6 MAC: Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai peguam negara baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini, menggantikan Tan Sri Tommy Thomas yang melepaskan jawatan pada 28 Februari lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Tommy Thomas atas perkhidmatan beliau kepada negara selama memegang jawatan sebagai peguam negara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan sama turut memaklumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permohonan Tommy untuk memendekkan perkhidmatan selaras Fasal (5) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Tommy dilantik sebagai peguam negara pada 4 Jun 2018 bagi tempoh dua tahun dan sepatutnya berakhir Jun depan.