Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jabatan Perangkaan buat survei ukur kesan Covid-19

SHAH ALAM, 23 MAC: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjalankan survei secara atas talian bagi mengukur kesan wabak Covid-19 kepada ekonomi dan individu negara ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata survei dengan 21 soalan itu merangkumi tiga modul iaitu modul umum dan pekerjaan yang setiap satu mempunyai sembilan soalan manakala tiga soalan membabitkan modul perbelanjaan.

Katanya, pusingan pertama survei khas yang bermula hari ini hingga 31 Mac terbuka kepada semua warga Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas.

“Maklumat dikumpulkan melalui survei ini tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989). Maklumat diterima adalah sulit dan hanya digunakan bagi tujuan perangkaan.

“Dapatan kajian akan diguna sebagai input kepada Kerajaan Malaysia untuk mengukur kesan Covid-19 terhadap ekonomi, pekerjaan dan pola perbelanjaan penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mereka yang ingin melengkapkan survei itu boleh melayari capaian, https://bit.ly/SurveiCOVID19DOSM atau melalui imbasan kod QR disediakan.