Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais arah masjid, surau baca qunut nazilah cegah Covid-19

SHAH ALAM, 5 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor meminta semua masjid dan surau di negeri ini membaca qunut nazilah ketika solat Subuh bagi memohon perlindungan susulan Covid-19.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata arahan berkuat kuasa serta-merta sehingga penularan wabak diatasi sepenuhnya.

“Umum mengetahui penyebaran wabak Covid-19 di negara kita semakin meningkat ketika ini, justeru seluruh pegawai dan jawatankuasa masjid hendaklah sentiasa peka menanganinya seperti disarankan Kementerian Kesihatan.

“Selain itu, sebagai seorang muslim kita hendaklah sentiasa memohon pertolongan Allah SWT supaya melindungi negara daripada wabak berkenaan,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini memaklumkan lima lagi individu disahkan positif Covid-19, menjadikan keseluruhannya 55 kes.

Daripada jumlah itu, 22 daripadanya sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar wad.