Categories
AGENSI SELANGOR

Karnival Tanah Selangor 2020 ditunda susulan Covid-19

SHAH ALAM, 12 MAC: Karnival Tanah Selangor 2020 yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian susulan penularan gelombang kedua Covid-19, kata pengarah Tanah dan Galian Selangor.

Datuk Zulkefli Khalid berkata penangguhan turut membabitkan program hari pengecualian fi tunggakan denda lewat dan Larian Karnival Tanah Selangor 2020 seperti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

“Untuk makluman, keputusan saat akhir ini sejajar nasihat diterima daripada pengarah Jabatan Kesihatan Selangor dengan situasi semasa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengisytiharkan penularan wabak Covid-19 pada tahap pandemik bermula 11 Mac 2020,” katanya dalam kenyataan.

Karnival di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pejabat daerah dan tanah (PDT) serta kaunter van kutipan hasil bergerak memberi tawaran pengecualian 100 peratus fi denda lewat kepada pemilik hartanah yang mempunyai tunggakan.

Kutipan cukai di Dataran Merdeka dibuka pada 14 Mac dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang, manakala di semua PDT dan van bergerak bermula jam 8.30 pagi hingga 3.30 petang pada 14 dan 15 Mac.