Categories
PBT SELANGOR

Kawalan pergerakan: MPS keluar 59 arahan notis tutup, 178 amaran

SHAH ALAM, 21 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengeluarkan 59 arahan notis tutup dan 178 amaran lisan dalam pemeriksaan ke atas lebih 769 premis dan penjaja di sekitar pentadbirannya semalam.

Yang Dipertuanya Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata pihaknya mendapati orang ramai masih berdegil dan mementingkan diri dengan menjalankan perniagaan mereka pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan.

“Setakat ini kita melakukan pemeriksaan ke atas lebih 769 premis serta penjaja di seluruh kawasan pentadbiran MPS dan mengeluarkan sebanyak 59 arahan notis tutup serta 178 amaran lisan.

“Kesemua penjaja tepi jalan tanpa premis kekal diberi amaran dan diminta menghentikan perniagaan mereka selaras dengan arahan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) yang dikeluarkan pada 19 Mac,” katanya dalam kenyataan.

Dalam operasi pemantauan semalam, Shamsul bersama pasukan penguat kuasa MPS juga melawat beberapa kawasan rekreasi awam seperti kolam air panas Selayang dan mendapati masih terdapat orang awam yang datang ke kawasan berkenaan.

“Semua kawasan awam, taman, kawasan rekreasi dan sebagainya adalah ditutup kepada orang awam, justeru MPS sekali lagi menyeru kepada orang ramai mematuhi arahan kerajaan untuk berada di rumah dan hanya keluar untuk urusan penting sahaja sepanjang tempoh ini.

“Kegagalan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan boleh diambil tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya,” katanya.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Bermula Ahad ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mula dikerahkan untuk membantu polis dalam menguatkuasakan perintah berkenaan.