Categories
AGENDA EKONOMI

Kemelut minyak dunia, bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Bursa Malaysia meneruskan penurunan untuk ditutup rendah hari ini, dengan ekuiti tempatan tidak terkecuali daripada menerima kesan kemelut minyak dunia sehingga membawa kemerosotan harga minyak Brent yang diniagakan kira-kira 20 peratus lebih rendah pada US$36.07 setong.

Peniaga berkata masih tidak pasti berapa lama penurunan harga minyak tersebut akan berlarutan, memandangkan risiko bekalan minyak boleh memburukkan lagi permintaan yang telah sedia terjejas akibat Covid-19.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 58.94 mata kepada 1,424.16 daripada 1,483.10 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Ini merupakan paras terendah, yang juga pernah dicatatkan pada 2011.

Selepas dibuka 23.29 mata lebih rendah pada 1,459.81 pagi ini, indeks tempatan itu bergerak di antara 1,422.65 dengan 1,459.81 sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 1,139 berbanding 120 manakala 127 kaunter tidak berubah, 612 kaunter tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 6.66 bilion saham bernilai RM3.62 bilion daripada 2.65 bilion saham bernilai RM2.29 bilion ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata sekiranya perjanjian pematuhan pengeluaran baharu di antara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dengan Rusia tidak dicapai dalam tempoh terdekat, harga minyak mentah dijangka turun mendadak dan melepasi paras terendah 2015/2016.

“Jumlah kes Covid-19 di Amerika Syarikat dijangka meningkat daripada jumlah semasa, mungkin mendadak, apabila saringan dilaksanakan secara berskala besar, ini pastinya tidak dapat dielakkan. Pasaran minyak itu juga boleh kekal mengalami tekanan bagi jangka terdekat sehingga Rusia dan Arab Saudi merundingkan semula kemelut mereka yang membabitkan ancaman minyak,” katanya.

Malaysia, yang merupakan negara pengeksport minyak, terjejas teruk apabila syarikat minyak dan gas negara, Petronas menyaksikan saham PetChem merosot RM1.25 kepada RM4.40, PetDag turun RM1.18 kepada RM20.90 dan PetGas susut 44 sen kepada RM15.70.

Firma penyelidikan juga menyemak turun sektor minyak dan gas kepada ‘underweight’ daripada ‘overweight’, dan daripada ‘overweight’ kepada ‘neutral’ berikutan perang harga minyak yang agresif oleh Arab Saudi.

Sementara itu di peringkat tempatan, kerajaan pimpinan Perikatan Nasional telah menamakan barisan anggota Kabinet baharunya hari ini, yang diharapkan pelabur dapat menumpukan dasar dan hala tuju kerajaan.

“Kita mungkin dapat menyaksikan minat belian terhadap saham berkaitan politik esok,” kata peniaga.

Di peringkat rantau, Indeks Nikkei Jepun turun 5.07 peratus kepada 19,698.76; Indeks Singapura Straits Times susut 6.02 peratus kepada 2,782.65; manakala Indeks Bursa Saham Shanghai merosot 3.01 peratus kepada 2,943.29.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank turun 26 sen kepada RM8.24, Tenaga kurang 10 sen kepada RM12.50, Public Bank menguncup 64 sen kepada RM17.02 dan Petronas Chemicals susut RM1.25 kepada RM4.40.

Bagi saham aktif, Sapura Energy kurang 5.5 sen kepada 10.5 sen, Velesto Energy merosot 14.5 sen kepada 15.5 sen dan Bumi Armada turun 12 sen pada 16 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 497.91 mata kepada 9,947.06, Indeks FBM Emas Syariah kurang 572.94 mata kepada 10,547.40 dan FBM 70 merosot 793.46 mata kepada 11,924.12.

Indeks FBMT 100 menguncup 461.82 mata kepada 9,812.41 dan FBM Ace turun 606.35 mata kepada 4,638.82.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 14.52 mata kepada 120.71, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 519.46 mata kepada 13,817.10 dan Indeks Perladangan susut 438.92 mata kepada 6,294.12.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 5.0 bilion saham bernilai RM3.35 bilion daripada 1.57 bilion saham bernilai RM2.05 bilion pada Jumaat lepas.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 467.87 juta unit bernilai RM61.43 juta berbanding 462.66 juta unit bernilai RM78.22 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula merosot kepada 1.18 juta saham bernilai RM211.11 juta daripada 616.86 juta saham bernilai RM157.29 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 481.98 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (527.31 juta), pembinaan (257.36 juta), teknologi (361.37 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (100.27 juta), hartanah (462.33 juta), perladangan (99.42 juta), REIT (16.85 juta), dana tertutup (60,900), tenaga (2.41 bilion), penjagaan kesihatan (77.93 juta), telekomunikasi dan media (53.16 juta), pengangkutan dan logistik (73.93 juta) serta utiliti (81.26 juta).

– BERNAMA