Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Jual ubat Covid-19, jangan tangguk di air keruh

SHAH ALAM, 22 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan menjual ubat kononnya boleh merawat dan mencegah wabak Covid-19.

Kementerian melalui hantaran di Facebook menegaskan syarikat atau individu yang menjual produk tersebut perlu mempunyai nombor pendaftaran MAL dan nombor Lembaga Iklan Ubat (KKLIU).

“Dengan situasi sekarang berkaitan Covid-19 janganlah ada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan menjual ubat yang kononnya boleh merawat dan mencegah penyakit tersebut.

“Pastikan ubat anda mempunyai nombor pendaftaran MAL dan iklan mempunyai nombor KKLIU #biarbetuliklanni!,” tulisnya.

Mereka yang mengiklankan ubat tanpa kelulusan boleh disabit mengikut Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, yang memperuntukan hukuman denda dan/atau penjara satu tahun, manakala denda RM5,000 dan/atau dua tahun penjara bagi kesalahan seterusnya.

Menjual produk tidak berdaftar pula kesalahan di bawah Pelanggaran Peraturan 7, Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang memperuntukan denda RM25,000 dan/atau tiga tahun penjara untuk individu atau RM50,000 bagi syarikat.