Categories
AGENSI SELANGOR

Kuliah Unisel atas talian dari 6 April hingga 22 Mei

SHAH ALAM, 29 MAC: Universiti Selangor (Unisel) menjalankan semua kuliah secara atas talian apabila semester baharu bermula 6 April ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata presiden dan naib canselornya.

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata kuliah menerusi portal e-Learning membenarkan mahasiswa mengikuti pembelajaran secara maya dari tempat tinggal sehingga 22 Mei.

“Pendaftaran pelajar lama bermula pada 3 hingga 14 April manakala pendaftaran mahasiswa baharu dari 15 hingga 19 April secara berperingkat.

“Diseru warga Unisel mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan supaya tinggal dalam rumah bagi membendung wabak Covid-19,” katanya dalam video perutusan khas di Facebook Unisel malam tadi.

Sementara itu, presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unisel, Muhamad Faqih Damarulan berkata pelajar dan pensyarah boleh berkongsi nota serta membuat kuiz menerusi kaedah pembelajaran tersebut.

Bagaimanapun, katanya, kaedah itu mungkin menjejaskan pembelajaran mahasiswa yang menetap di kawasan pedalaman ekoran masalah akses liputan internet.

“Rata-rata pelajar Unisel arif dengan e-Learning, namun ia menjadi  kekangan buat mereka yang tidak pernah menggunakan sistem pembelajaran atas talian.

“Perkara ini bukan mustahil untuk dilaksanakan, tetapi ada beberapa kekangan yang perlu diambil kira oleh pihak universiti,” katanya ketika dihubungi.