Categories
AGENDA NASIONAL

Kurang pengalaman punca Selangor II tewas di laman sendiri

SHAH ALAM, 2 MAC: Pengendali Selangor II, Michael Feichtenbeiner menganggap anak buahnya perlu beraksi dalam lebih banyak perlawanan susulan gagal mengumpul sebarang mata pada aksi pertamanya dalam Liga Perdana malam tadi.

Michael berkata kebanyakan pemainnya masih muda dan baru pertama kali beraksi dalam liga profesional.

“Mereka melakukan yang terbaik ketika pramusim tetapi hari ini (malam tadi) permainan mereka sedikit berbeza. Saya rasa mereka masih muda dan perlukan lebih banyak pengalaman untuk bersaing dalam liga ini.

“Saya kecewa kerana mereka tidak sepatutnya mendapat keputusan sebegitu…Terengganu FC II mempunyai banyak peluang sama seperti pasukan, namun kita gagal menjaringkan gol,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Bagaimanapun, beliau percaya skuadnya pasti mengambil pengajaran daripada perlawanan menentang Terengganu FC II dan akan lebih bersedia bagi menghadapi saingan akan datang.

Sementara itu, pengendali Terengganu FC II Roshadi Wahab berkata sasaran pasukan itu untuk memperoleh tiga mata pada perlawanan pembukaan berjaya dicapai.

“Walaupun pada peringkat awal kami sukar menembusi pertahanan lawan kerana Selangor II mempunyai pemain muda hebat namun atas usaha pemain saya, kami berjaya mendapat gol penting untuk membawa tiga mata pulang ke Terengganu,” katanya.

Pada perlawanan itu, pemain import Terengganu FC II, Jordan Mintah menjadi wira pasukan selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80.

Terengganu FC II mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Selangor II.

– BERNAMA