Categories
PENDAPAT RENCANA

Lima lokasi air terjun tarik pelancong ke Selangor

Ada banyak tempat semula jadi yang menarik untuk dikunjungi. Malah, keindahan alam dan variasi air terjun di Selangor antara yang menggamit pelancong dalam dan luar negara.

Berikut lokasi yang menjadi pilihan pengunjung sama ada untuk berkelah bersama keluarga mahupun sekadar mencari ketenangan dari suasana kota raya. Wartawan NAZLI IBRAHIM memilih beberapa lokasi air terjun yang diminati ramai berdasarkan tinjauan beberapa media.

Air Terjun Serendah

Satu lagi lokasi perkelahan sesuai adalah Air Terjun Serendah yang turut dikenali sebagai Air Terjun Templer Kai.

Terletak 13km dari pusat bandar Rawang, ia dianggap mesra kanak-kanak berikutan kawasan mandi luas, tidak berbatu dan airnya hanya paras pinggang.

Namun, kedudukannya yang strategik selain kemudahan parkir, bilik persalinan dan kedai makan menyebabkan lokasi itu sesak pada hujung minggu.

Pengunjung juga boleh mendaki 200 meter untuk ke bahagian atas air terjun yang menempatkan jakuzi semula jadi yang dinamai Freedo’s Jakuzi. Kenderaan pacuan empat roda juga boleh dipandu ke sana.

Santuari Ikan Sungai Chiling

Perjalanan sejauh 13km dari Kuala Kubu Bharu tidak terasa apabila disajikan dengan suasana penempatan orang Asli di Kampung Pertak dan Empangan Sungai Selangor.

Santuari yang diuruskan Jabatan Perikanan Selangor dan Jabatan Perhutanan Selangor juga menawarkan pengalaman sedikit mencabar buat pengunjungnya.

Untuk sampai ke air terjun, pengunjung perlu berjalan kaki meredah hutan sejauh tiga km antara 40 minit hingga satu jam.

Sebaik tiba, penat meredah hutan segera hilang apabila menyaksikan deruan air terjun dan ikan kelah dan tengas berenang jinak di permukaan sungai yang jernih.

Pengunjung juga boleh memberi makan ikan kelah sebesar telapak tangan orang dewasa dengan membeli makanan di kaunter masuk tapak perkelahan.

Air Terjun Chiling ada tiga tingkat tetapi pengunjung hanya dibenarkan bermandi-manda di tingkat pertama sahaja atas faktor keselamatan.

Namun, Sungai Chiling ditutup sementara mulai 1 November lalu sehingga 29 Februari ini ekoran ikan kelah dan tengas sedang aktif membiak.

Hutan Lipur Kanching

Hutan hujan Kanching yang juga dikenali sebagai Hutan Lipur Kanching terletak enam kilometer dari bandar Rawang. Ia terkenal sebagai lokasi perkhemahan, perkelahan, dan kegiatan meredah hutan.

Laluan hutan yang diuruskan Tourism Selangor sesuai bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti itu. Kawasan tersebut juga dipenuhi pelbagai spesies tumbuhan yang jarang ditemui.

Hanya RM1 seorang dan RM2 untuk caj parkir, kawasan perkelahan pula ada tujuh lapisan air terjun. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan aksi kumpulan monyet bergayutan di pokok.

Sungai Pisang

Air terjun di pinggir Lebuhraya Karak terletak kira-kira 20km dari Gombak. Di lokasi perkelahan, pengunjung boleh menikmati sensasi spa semula jadi dengan membiarkan ikan-ikan kecil menggigit kulit mati di kaki.

Untuk ke kawasan yang dinamakan Jungle Lodge (terletak di sepanjang Jalan Gombak lama ke Genting Highland), pe-
ngunjung perlu meredah hutan kira-kira sejam termasuk menyeberangi sungai.

Pengunjung juga perlu melalui terowong yang terletak bawah lebuhraya berkenaan.

Sungai Tekala

Sungai Tekala yang terletak di Hulu Langat, kira-kira 14km dari Semenyih dan 50km dari Kuala Lumpur.

Pusat perkelahan yang dibuka pada 1982 merupakan tempat ideal untuk bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan kerana pengunjung hanya memerlukan 10 minit untuk sampai ke air terjun dari pintu masuk utama.

Tiket serendah RM2 bagi dewasa dan RM1 kanak-kanak, ia dilengkapi deretan gerai makan, surau, tandas awam dan bilik persalinan. Jika mahu bermalam, perkhidmatan sewa chalet disediakan atau sewa tapak khemah untuk lebih jimat.

Lokasi itu sebahagian Hutan Simpan Sungai Lalang yang menjadi Taman Warisan Selangor.