Categories
PENDAPAT RENCANA

Lima lubuk ikan idaman kaki pancing di Selangor

Memancing pasti menyeronokkan jika memperoleh hasil tangkapan berbaloi. Lebih-lebih lagi, panorama lokasinya indah lagi mendamaikan.

Ada banyak destinasi memancing di Selangor yang menawarkan pakej keindahan alam semula jadi dan lubuk ikan idaman kaki pancing. Berikut susunan NAZLI IBRAHIM berdasarkan cadangan Tourism Selangor.

Tanjung Harapan Pelabuhan Klang

Tanjung Harapan yang juga dikenali sebagai ‘Cape of Good Hope’ terletak di Pelabuhan Klang. Bersempadan dengan Pelabuhan Klang Golf Resort, lokasi itu bagai sebuah oasis di tengah-tengah kawasan perindustrian dan terminal perkapalan yang sibuk.

Sepanjang benteng dua kilometer, Tanjung Harapan juga lokasi menarik untuk menyaksikan matahari terbenam.

Terdapat banyak jeti yang berada di sepanjang persisiran Tanjung Harapan dan bayaran yang dikenakan bergantung kepada pemilik jeti. Sea Lion dan Jeti Pak Harun adalah antara yang terkenal dalam kalangan kaki pancing.

Pantai Jeram Kuala Selangor

Pantai Jeram sering menerima pelawat dalam jumlah yang besar pada hujung minggu dan cuti umum. Pantai sepanjang dua kilometer terdiri daripada pasir, batu dan kerang serta dihiasi banyak pokok Casuarina.

Pantai ini menyediakan kemudahan ideal bukan sahaja bagi kaki pancing, malah untuk bersiar-siar dengan tenang dengan suasana berangin dan santai bersama keluarga.

Antaranya kemudahan disediakan seperti kawasan parkir, tandas dan bilik mandi.

Ada banyak kedai yang rata-ratanya menjadikan makanan laut bakar sebagai menu utama.

Bagi mereka yang ingin memasak sendiri di rumah pula, terdapat gerai menjual pelbagai jenis ikan segar, aneka makanan laut bercengkerang, sotong, udang dan bermacam-macam lagi pada harga murah.

Pulau Ketam Pelabuhan Klang

Pulau Ketam dikelilingi pokok bakau dan kawasan berlumpur yang didiami majoriti keturunan Teochew dan Hokkien. Terdapat empat perkampungan nelayan iaitu Perbadanan Pulau Ketam, Bagan Teo Chew, Sungai Lima dan Sungai Dua.

Untuk ke Pulau Ketam, pemancing perlu menaiki feri dari jeti Pelabuhan Klang dengan tambang perjalanan sehala RM10 untuk dewasa dan RM6 kanak-kanak.

Pemancing juga boleh membeli tiket dua hala dengan harga lebih murah iaitu RM18 untuk dewasa dan RM10 kanak-kanak. Jarak dari jeti sekitar 10 batu nautika.

Antara penyelia feri adalah Alibaba Pulau Ketam Cruises yang memulakan operasinya dari 7.30 pagi hingga 7.30 petang pada hujung minggu dan 7.30 pagi hingga 6.30 petang pada hari bekerja.

Jika penat memancing, pengunjung juga boleh berbasikal pada kadar sewa RM5 sehari dan menikmati makanan laut segar di restoran berhampiran jeti.

One Fanthom Bank Kuala Selangor

Di sini pengunjung akan mendapati terdapat dua rumah api, lama dan baharu, yang menghadap antara satu sama lain.

Kebanyakan pengunjung datang ke sini secara berkumpulan untuk memancing sambil menikmati pemandangan menakjubkan dari One Fanthom Bank, juga dikenali Permatang Sedepa.

Untuk sampai ke sini, anda perlu mengambil bot dari jeti Pelabuhan Klang atau Tanjung Harapan pada jarak sekitar 24 batu nautika. Kosnya bergantung kepada bot dan syarikat yang menawarkan perkhidmatan.

Pulau Angsa Kuala Selangor

Pulau Angsa yang terletak di luar pantai Kuala Selangor terkenal sebagai sebuah pulau menghijau dan subur.

Menariknya, selain pemandangan indah dan lubuk kegemaran kaki pancing, pulau ini juga menyimpan banyak sejarah peneroka awal di sini iaitu orang Bugis.

Untuk ke sini, perjalanan mengambil masa dua jam dari Shah Alam ke jeti Pangkalan Jeram yang menempatkan Medan Ikan Bakar. Dari jeti, pulau itu terletak sejauh 6.8 batu nautika.

Pengunjung perlu mengambil bot dengan menggunakan perkhidmatan nelayan di jeti.