Categories
AGENSI SELANGOR

LZS lulus bantuan segera RM15 juta untuk kebajikan, perubatan

SHAH ALAM, 21MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan khas berjumlah RM15 juta bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata bantuan itu dikhususkan kepada peniaga kecil dan pekerja golongan berpendapatan rendah (B40) yang pendapatannya terjejas.

“Peruntukan itu turut disalurkan bagi menampung keperluan peralatan perubatan di hospital beroperasi menangani Covid-19 dan bantuan makanan kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

“Golongan yang terjejas boleh memohon bantuan bermula 25 Mac dengan menghubungi Zakat Selangor 1 300 88 4343 yang beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 10 pagi hingga 3 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Saipolyazan berkata LZS akan mempercepatkan penyaluran Bantuan Kewangan Bulanan pada 23 Mac ini kepada asnaf terbabit yang lazimnya menerima pada setiap 25 hari bulan.

“Bagi agihan bantuan bulanan lain akan berjalan seperti biasa. Semoga dengan bantuan ini dapat membantu meringankan kelangsungan hidup umat Islam di Selangor.

“LZS akan sentiasa melihat keperluan yang timbul dari semasa ke semasa bagi menyantuni semua pihak yang mengalami kesukaran semasa tempoh Covid-19,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung peruntukan khas itu yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi Facebook rasmi LZS.