SHAH ALAM, 28 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menutup permohonan bantuan khas Covid-19 bermula semalam bagi membolehkan agensi itu memproses permohonan yang telah dihantar.
LZS memaklumkan, keputusan bila bantuan itu akan dibuka semula akan diberitahu 31 Mac ini.
“Sejak dibuka pada 25 Mac lalu, LZS terima lebih 45,000 permohonan. Seramai 9,771 diluluskan, 9,361 dalam proses kelulusan manakala 1,128 ditolak,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Tambah LZS, penutupan dibuat bagi membolehkan pihaknya menyelesaikan permohonan yang sudah dihantar.
Pada 21 Mac lalu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop memaklumkan bantuan berkenaan akan dibuka sehingga 6 April depan dengan peruntukan RM15 juta.
Saipolyazan berkata peruntukan khas itu dikhususkan untuk golongan penjaja dan peniaga kecil serta pekerja B40 yang terjejas sumber pendapatan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran penularan Covid-19.
Selain itu, katanya, peruntukan turut diagihkan bagi menampung keperluan peralatan perubatan di hospital yang beroperasi menangani Covid-19.