Categories
AGENSI SELANGOR

Mais tubuh Tabung Prihatin Covid-19

SHAH ALAM, 21 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menubuhkan Tabung Prihatin Covid-19 bagi memberi bantuan kepada pihak memerlukan, kata setiausahanya.

Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata tabung itu diwujudkan untuk mengumpul sumbangan dana orang ramai bagi memenuhi keperluan bekalan makanan kepada kakitangan perubatan dan pelajar institusi pengajian tinggi sekitar Lembah Klang.

“Selain itu, sumbangan melalui tabung ini bertujuan membeli peralatan perubatan dan membantu mereka yang terkesan atas penularan virus Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Orang ramai atau mana-mana pihak yang berhasrat menghulurkan sumbangan, boleh berbuat demikian melalui aplikasi dalam talian di http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php.

Semua sumbangan terhadap Tabung Prihatin Covid-19 Mais akan mendapat pengecualian cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan nombor rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6.5621 dan No. Warta Kerajaan 14369 bertarikh 27.07.2004.

Setakat ini, jumlah kutipan Tabung Prihatin Covid-19 Mais sebanyak RM9,232.95.