Categories
AGENDA

MB azam majukan agenda rakyat, balas mandat pengundi

SHAH ALAM, 1 MAC: Pakatan Harapan Selangor berazam membalas kepercayaan rakyat yang memberi mandat dalam pilihan raya umum lalu, kata Dato’ Seri Amirudin Shari

Justeru, Dato’ Menteri Besar yang juga pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor mengajak semua pihak bersatu membantunya melaksanakan agenda bermanfaat kepada rakyat.

“Semua pihak kena bergerak ke hadapan dan melupakan apa yang telah berlaku kerana masih banyak perkara perlu dilakukan demi rakyat.

“Musibah ini ada baiknya kerana ia mengingatkan diri untuk muhasabah diri, jadi saya minta cukuplah salahkan serta cakap orang itu dan orang ini dengan macam-macam tuduhan,” katanya selepas Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini malam ini.

Amirudin dipercayai merujuk situasi Pakatan Harapan yang hilang kuasa pada peringkat persekutuan berikutan pergolakan politik.

Terdahulu, lebih 500 hadir dalam majlis bermula Solat Maghrib yang turut dihadiri isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad.

Beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) turut hadir termasuk ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, ADN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman, ADN Sementa Dr Daroyah Alwi dan ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.

ADN Kajang Hee Loy Sian dan ADN Bukit Lanjan Elizabeth Wong turut hadir jamuan selepas majlis berkenaan.