Categories
SELANGOR

MB gesa rakyat patuh Perintah Kawalan Pergerakan

SHAH ALAM, 24 MAC: Dato’ Menteri Besar menggesa supaya rakyat di negeri ini mengambil serius serta patuh terhadap Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.

Menerusi Twitter, Dato’ Seri Amirudin Shari menggesa orang awam mengikut arahan pihak berkuasa termasuk polis dan tentera.

“Bantu kerajaan untuk memastikan Malaysia bebas daripada penularan wabak Covid-19,” tulisnya.

Sementara itu menerusi laporan trafik sebuah stesen radio mendapati keadaan di Lebuhraya Shah Alam sesak.

Semalam Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan turut memandang serius tahap kesedaran masyarakat terhadap jarak sosial selamat ekoran ia masih gagal dilakukan.

Jelasnya, rata-rata mereka yang keluar ke pasar awam atau pasar raya untuk mendapatkan barangan harian masih lagi berpusu-pusu tanpa menghiraukan peraturan jarak sosial selamat yang ditetapkan iaitu satu meter antara satu dengan lain.

Justeru tumpuan pihak berkuasa termasuk polis dan tentera hari ini ialah memastikan jarak sosial dipatuhi, pada masa sama memastikan pasar awam dan pasar raya mengehadkan jumlah pembeli dalam satu-satu.