SHAH ALAM, 29 MAC: Hospital swasta di Selangor bersedia untuk menerima pesakit bukan Covid-19 bagi meringankan beban hospital seliaan Kementerian Kesihatan (KKM) yang ketika ini menangani wabak berkenaan, kata Dato’ Menteri Besar.
“Keputusan ini adalah hasil perbincangan melibatkan anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Corporation dan Jabatan Kesihatan Selangor.
“Hospital swasta ini juga bersedia untuk menyumbangkan beberapa alat pembantu pernafasan (ventilator) buat kegunaan hospital kerajaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan.
Hari ini, Amirudin mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kewangan negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor bagi memperhalusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa ke-2.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan membuat pengumuman seterusnya berkenaan pakej rangsangan itu pada permulaan sesi kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu 1 April ini.
“Semoga sinergi antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta membuahkan hasil terbaik buat rakyat,” katanya.
Pada 20 Mac lalu, Amirudin turut mengumumkan Pakej Selangor Prihatin Covid-19 kepada pelbagai golongan yang terkesan dengan pandemik berkenaan.
Ia membabitkan tujuh inisiatif dengan nilai peruntukan RM127.78 juta yang memberikan manfaat kepada petugas barisan hadapan Covid-19, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan Hijrah dan rakyat.
Antara diberi ialah sumbangan RM200 kepada 6,000 petugas di semua hospital di Selangor.