Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Pusat Kardiologi Hospital Serdang siap Jun 2021

SERDANG, 3 MAC: Pembinaan Pusat Kardiologi di Hospital Serdang yang dijangka siap pada Jun 2021 bakal melancarkan pengurusan dan proses rawatan pesakit jantung penduduk negara ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bangunan berasingan daripada bangunan hospital sedia ada akan memudahkan pakar kardiologi mengurus pesakit secara lebih sistematik.

“Hospital Serdang merupakan pusat rujukan untuk merawat masalah kardiologi dan jantung.

“Kita bangga kerana hospital ini turut menjadi tumpuan pihak luar dan selepas siapnya Pusat Kardiologi ini, pesakit boleh dirujuk untuk rawatan dengan lebih cepat,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja di tapak pembinaan Pusat Kardiologi di Hospital Serdang di sini hari ini.

Pusat Kardiologi adalah projek Kerajaan Persekutuan dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 Selangor yang membabitkan kos hampir RM306 juta.

Projek yang bermula Mac 2018 dilaksanakan oleh kontraktror Nadi Cergas Sdn Bhd.

Apabila siap, projek ini bakal mempunyai satu blok Pusat Kardiologi lapan tingkat yang menempatkan 262 katil dan satu blok tempat letak kenderaan sembilan tingkat.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari diberi taklimat berkenaan pembinaan Pusat Kardiologi Hospital Serdang di, Serdang pada 3 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI