Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Selangor harap cadangan pelabuhan di Pulau Carey diteruskan

PELABUHAN KLANG, 12 MAC: Kerajaan Persekutuan diharap meneruskan cadangan projek pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Selangor yang dibuat Pakatan Harapan sebelum ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berharap kerajaan baharu mempertimbangkan perkara tersebut yang antara lain bertujuan menampung kapasiti kontena di Pelabuhan Barat dan Utara.

“Kita amat mengalu-alukan cadangan ini diteruskan kerana ia sudah tentu akan menjana ekonomi negeri, malah projek Laluan Rel Pantai Timur yang disambung semula pembinaannya dengan jajaran baharu bermula dari Nilai, Negeri Sembilan turut membabitkan laluan Putrajaya Sentral dan berakhir di Pelabuhan Klang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas lawatan ke Pusat Logistik Pelabuhan Barat di sini hari ini

Sebelum ini, bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Kabinet bersetuju supaya kajian kebolehlaksanaan dijalankan terhadap projek pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey.

Beliau berkata berikutan itu Lembaga Pelabuhan Klang diberi tanggungjawab mengeluarkan Permohonan Cadangan kepada syarikat perunding bebas.

Kajian cadangan tersebut merangkumi 16 aspek termasuk Penilaian Kesan Alam Sekitar serta kajian terhadap pasaran dan kesan sosial bagi melihat sejauh mana Pulau Carey boleh dibangunkan sebagai sebuah pelabuhan.