Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Semua perpustakaan awam negeri ditutup hingga 31 Mac

SHAH ALAM, 17 MAC: Semua perpustakaan awam di negeri ini akan ditutup sehingga 31 Mac bagi mengelakkan penularan Covid-19 dalam kalangan pengunjung dan kakitangan perpustakaan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penutupan itu membabitkan 104 perpustakaan di bawah seliaan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Perpustakaan Negara.

“Kesemua kakitangan akan bekerja dari rumah kecuali sebahagian kecilnya yang terlibat dengan proses pemulangan buku.

“Buat masa ini tiada lagi proses peminjaman buku atau aktiviti lain akan dilakukan dalam tempoh berkenaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor, semalam.

Turut hadir pada mesyuarat kali ketiga itu ialah ketua pasukannya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud.

Semalam, Perpustakaan Negara Malaysia turut mengambil langkah keselamatan menutup perkhidmatannya kepada orang awam bermula 16 Mac hingga 30 April ini.