Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB terima kunjungan hormat Duta Besar Kosovo

SHAH ALAM, 5 MAC: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima kunjungan hormat Duta Besar Kosovo di Thailand Muhamet Brajshori di pejabatnya, kelmarin.

Dalam kenyataan ringkas di Facebook, Amirudin memaklumkan pihaknya bertukar idea dan pandangan mengenai inovasi, teknologi, perubahan iklim serta pembangunan ekonomi antara Selangor, Malaysia dan negara tersebut.

“Saya turut dimaklumkan mengenai pembangunan industri halal Kosovo bagi rantau Balkan dan Eropah yang membuka peluang pekerjaan kepada belia muslim di sana.

“Sebenarnya terdapat banyak peluang yang boleh dijalinkan antara Kosovo dan Selangor dan disebabkan Malaysia adalah sahabat baik Kosovo sejak 2008, mungkin tidak lama lagi akan ada pejabat kedutaannya di Selangor,” katanya.