Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBPJ perintis jayakan wawasan bandar pintar

PETALING JAYA, 11 MAC: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diharap dapat bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam menjayakan wawasan Selangor menjadi negeri pintar menjelang 2025, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata ia susulan pembinaan Pusat Pintar Petaling Jaya yang menjadikan MBPJ pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia berjaya membina pusat berkenaan.

Katanya, paling membanggakan apabila pusat itu menjadi rujukan beberapa PBT termasuk agensi penguatkuasa luar negara sejak mula beroperasi pada April tahun lalu.

“Ini adalah satu pencapaian membanggakan buat MBPJ. Saya optimis MBPJ mampu menjadi bandar raya pertama di Malaysia capai status bandar pintar menerusi pembinaan pusat ini.

Seorang pengunjung berjalan keluar dari bangunan PJ Smart Centre (PJSC) di Petaling Jaya pada 10 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Wujudnya pusat pintar ini diharap mampu menghubungkan  beberapa agensi seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan agensi keselamatan lain sekali gus memudahkan semua pihak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan pusat berkenaan dan demonstrasi 5G Celcom di sini, semalam.

Pusat berkenaan dengan peruntukan kira-kira RM50 juta daripada Kerajaan Negeri berfungsi sebagai pusat penyimpanan data bernilai untuk sistem perancangan dan pengurusan bandar berlandaskan perisian sistem informasi geografik dan data bandar dalam bentuk papan pemuka.

Ia dibangunkan dengan mengambil kira isu strategik dan wawasan penduduk bagi menjadikan bandar raya itu bersih, hijau, selamat, saling berhubung dan harmoni.

Bagi melancarkan sistem itu, MBPJ bekerjasama dengan Celcom Axiata Berhad untuk melaksanakan penyelesaian bandar pintar dan keselamatan awam menerusi teknologi 5G.