Categories
PBT SELANGOR

MBSA sita barang niaga di kaki lima

SHAH ALAM, 14 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyita pelbagai barang jualan penjaja beberapa premis di Jalan Boling Padang Seksyen 13 di sini semalam, kata ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya.

Shahrin Ahmad berkata operasi itu susulan aduan orang awam yang mendapati perniagaan dijalankan tanpa lesen dan menghalang laluan.

Katanya, antara barang dirampas ialah 39 unit kerusi, meja plastik (21 unit), gerai (enam unit), rak besi (dua unit) dan masing-masing satu unit meja kayu, dapur pembakar, peti ais kecil dan tong sampah.

Semua tindakan itu mengikut kesalahan UUK Penjaja MBSA 2007 UUK 19 dan 42 (1) dan Akta 133 Seksyen 45 1(d) dan 46 3(a) dan peniaga boleh dikenakan tindakan kompaun maksimum RM500.

“Jika kesalahan sama berulang, peniaga boleh dikompaun maksimum sehingga RM1,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, MBSA mengingkatkan orang awam termasuk peniaga supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang.

Tindakan meletak barang perniagaan di kaki lima dilarang kerana menganggu laluan pejalan kaki.