Categories
PBT SELANGOR

MPS nyahkuman premis langkah kawal Covid-19

SHAH ALAM, 14 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melakukan nyahkuman di semua lif dan kawasan awam di bangunannya sebagai kawalan pencegahan Covid-19, kata pengarah jabatan korporatnya.

Mohamad Zin Masoad berkata saringan suhu badan dilakukan kepada semua pelawat termasuk larangan melakukan sebarang urusan di MPS bagi individu bergejala.

Katanya seorang peserta Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling dipercayai berurusan di bangunan MPS pagi semalam sudah membuat ujian saringan di klinik dan menjalani kuarantin sendiri di rumah selama empat hari sehingga keputusan Covid-19 dikeluarkan.

“Kita berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak untuk tindakan seterusnya dan disarankan membuat kerja nyahkuman di tempat dikunjungi individu berkenaan.

“Ia melibatkan kaunter pertanyaan di lobi (termasuk pas pelawat), lif (termasuk butang lif dalam dan luar) serta kaunter di Jabatan Perundangan (termasuk kerusi),” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zin berkata operasi pihak berkuasa tempatan itu boleh diteruskan seperti biasa malah risiko pendedahan jangkitan tersebut di tahap rendah.