Categories
EXCO SELANGOR

Orang ramai dijemput meriahkan Ekspo Hasil Suri Selangor esok

SHAH ALAM, 6 MAC: Orang ramai dijemput memeriahkan Ekspo Hasil Suri Selangor 2020 (HaSSel 2020) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) selama dua hari bermula esok, kata Dr Siti Mariah Mahmud.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga berkata ekspo itu diadakan sempena Hari Wanita Selangor dan menjadi medium kepada usahawan untuk mempamerkan produk hasil tanganĀ  kepada umum.

Katanya, antara mereka yang menyertai ekspo membabitkan kalangan suri rumah dan ibu tunggal yang juga penerima Kasih Ibu Smart Selangor serta usahawanita di Pusat Wanita Berdaya dan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

“Ekspo ini memberi ruang dan peluang kepada wanita untuk meneroka potensi diri dan saya optimis ia akan menjadi pemangkin kepada segala usaha pemberdayaan ekonomi Selangor.

“Menerusi ekspo ini juga mereka berpeluang membina jaringan perniagaan dengan pihak pelabur dan ahli perniagaan luar,” katanya dalam kenyataan.

Intipati lain pada program ekspo ialah Majlis Aspresiasi Sedekad Pusat Wanita Berdaya, Forum Ibu Tunggal, pameran dan jualan pelbagai hasil seni usahawan.