Categories
AGENDA NASIONAL

Panduan majikan, pekerja ketika wabak Covid-19

SHAH ALAM, 16 MAC: Berikutan penularan wabak Covid-19, Kementerian Sumber Manusia menasihati pekerja dan majikan mengguna pakai seksyen-seksyen  di bawah Akta Kerja 1955  sebagai panduan berkaitan wabak itu.

Antara seksyen yang boleh diguna pakai ialah Seksyen 60F dan Seksyen 60E (1B) dan Seksyen 60F Akta Kerja 1955.

Berikut adalah kenyataan penuh Kementerian Sumber Manusia hari ini:

Pemeriksaan kesihatan
– Mengarahkan pekerja untuk segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan atas pembiayaan majikan

Tempoh Kelayakan Cuti Sakit Bergaji (Tanpa Hospitalisasi)
– Dalam setahun kalendar sekurang-kurangnya adalah seperti berikut:
i. 14 hari jika tempoh bekerja kurang 2 tahun
ii. 18 hari jika bekerja antara 2- 5 tahun
iii. 22 hari jika bekerja lebih 5 tahun

Cuti Sakit Bergaji- Majikan perlu memberikan cuti sakit bergaji atau kelayakan hospitalisasi sepanjang tempoh rawatan di hospital bagi pesakit yang disahkan mempunyai simptom jangkitan Covid-19

Arahan Kuarantin
– Bagi pekerja yang diberi arahan kuarantin melebihi tempoh kelayakan cuti sakit atau hospitalisasi, majikan digalakkan untuk memberi kemudahan bayaran tambahan kepada pekerja bagi tujuan menjaga keharmonian hubungan pekerja dan majikan
– Sekiranya majikan tidak membenarkan cuti sakit bergaji, ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 60F

Seksyen 60E (1B) Akta Kerja 1955

Perintah Kuarantin
– Pekerja yang diberi perintah Kuarantin atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman (“home surveillance”), tempoh kuarantin tidak boleh dipaksa menggunakan cuti tahunan sepanjang tempoh kuarantin tersebut kerana cuti tahunan merupakan suatu hak pekerja
– Majikan juga tidak boleh melarang pekerja datang bekerja tanpa Perintah Kuarantin atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar kepada pekerja. Bagaimanapun, majikan boleh mengarahkan mana-mana pekerja yang
tidak sihat untuk tidak hadir bekerja dan membenarkan cuti bergaji
dibayar kepada pekerja tersebut

Majikan boleh mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengelakkan
pemberhentian pekerja sebagaimana yang disyorkan di dalam Tatacara Untuk
Keharmonian Perusahaan iaitu:

a. Menghadkan kerja lebih masa;
b. Mengurangkan hari-hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan
bilangan kerja seminggu;
c. Mengurangkan waktu bekerja harian;
d. Melaksanakan pemberhentian kerja sementara (lay-off) misalnya dalam
bentuk penutupan sementara (temporary shutdown) dengan menawarkan
gaji yang berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara
di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula;
e. Mengurangkan gaji pekerja (Pay-Cut) yang dibuat secara adil di semua
peringkat boleh dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas langkahlangkah penjimatan kos lain telah dilaksanakan.

Sekiranya berlaku keadaan yang menyebabkan kemerosotan dalam perniagaan sehingga menyebabkan majikan mengambil tindakan untuk mengurangkan tenaga kerja atau pemberhentian pekerja, majikan perlu merujuk Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja yang boleh diperolehi di laman sesawang
JTKSM iaitu http://jtksm.mohr.gov.my.

Majikan dikehendaki menggunakan Borang Pemberhentian (PK) bagi tujuan melapor pemberhentian kepada JTK terdekat sekurang-kurangnya 30 hari sebelum mengambil tindakan berikut:

f. Pemberhentian Pekerja (Retrenchment);
g. Pemberhentian Pekerja Secara Sukarela (Voluntary Separation);
h. Pemberhentian Kerja Sementara (Lay-Off); atau
i. Pengurangan Gaji (Pay Cut)

Mana-mana majikan yang gagal mematuhi arahan seperti di atas, sekiranya disabitkan kesalahan, majikan akan didenda tidak lebih daripada RM10,000 bagi setiap kesalahan.

JTKSM juga telah menubuhkan Bilik Gerakan Pemantauan Pemberhentian Pekerja Ekoran Wabak Covid-19 di peringkat jabatan untuk merekod maklumat pemberhentian yang berlaku di Semenanjung Malaysia dan memantau maklumat situasi perburuhan yang terjejas akibat penularan wabak tersebut.

Kementerian Sumber Manusia menyeru kepada semua majikan agar membuat saringan terhadap keberadaan pekerja masing-masing dan membantu dalam mengenal pasti sama ada terdapat
pekerja mereka yang menghadiri mana-mana perhimpunan ijtimak tabligh dan perhimpunan keagamaan di Pulau Pinang.

Sekiranya ada, kerjasama pihak majikan dipohon agar mengarahkan pekerja berkenaan untuk mengisytiharkan diri dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran bagi mendapatkan nasihat
serta tindakan lanjut.