Categories
AGENSI SELANGOR

Pelarut punca loji pembersihan air henti tugas

SHAH ALAM, 18 MAC: Penemuan bau seakan pelarut di Sungai Gong dan Sungai Bakau, Rawang punca empat loji pembersihan air (LPA) terpaksa dihenti tugas, petang semalam.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam kenyataan memaklumkan bau tersebut berpunca daripada kawasan perindustrian kecil Sungai Bakau, Country Home, Rawang yang dianggarkan pada jarak 17km dari LPA Rantau Panjang dengan anggaran bau sekitar empat ton.

“Pensampelan kualiti air sudah dilaksanakan bagi dianalisa oleh Jabatan Kimia, namun Luas mengaktifkan pengepaman air kolam alternatif di Bestari Jaya sebanyak 972 juta liter sehari (JLH) untuk meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor.

“Pada masa sama, pembukaan sementara pintu 5 di Baraj Bestari Jaya juga dilakukan bagi mempercepatkan aliran ke hilir Sungai Selangor dan berjaya membantu meningkatkan pencairan dan
pengoperasian LPA dengan segera,” katanya.

Kenyataan sama turut memaklumkan LPA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang beroperasi sepenuhnya malam tadi.