Categories
PBT SELANGOR

Peniaga degil, MPS keluar 20 notis amaran

SELAYANG, 19 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengeluarkan 20 notis amaran ke atas penjaja pelbagai jenis barang di sekitar Selayang Jaya yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa semalam, kata pengarah jabatan korporatnya.

Mohamad Zin Masoad berkata pemantauan mendapati masih ada bengkel motosikal, kedai tayar, bengkel cuci kereta, penjaja dan kilang pemborong ikan bilis meneruskan operasi perniagaan seperti biasa.

Katanya, mereka dikeluarkan amaran di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (1988) (Akta 342) dan jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata pihak MPS memandang serius tindakan peniaga yang seolah-seolah mencabar arahan kerajaan dalam membendung wabak Covid-19 daripada merebak.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu di seluruh negara mulai 18 hingga 31 Mac 2020.

Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Bagaimanapun, terdapat 25 sektor dikecualikan daripada perintah tersebut antaranya air, elektrik, tenaga dan telekomunikasi, kewangan, perbankan selain penyiaran serta kesihatan.