Categories
AGENSI SELANGOR

Pepias puji Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19

SHAH ALAM, 21 MAC: Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias) memuji usaha Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin bagi membantu masyarakat yang terkesan dengan Covid-19, kata setiausaha agungnya.

Mohamad Khairuddin Zahari berkata tindakan pantas itu membuktikan keprihatinan Selangor terhadap segenap masyarakat terutama mahasiswa.

“Antaranya bantuan sara diri RM200 untuk mahasiswa Selangor yang berada di Sabah dan Sarawak serta program makanan percuma untuk pelajar di Universiti Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan Kolej Antarabangsa Inpens dari 22 hingga 31 Mac yang terpaksa kekal di universiti.

“Lantaran itu, Pepias bersedia menggembleng tenaga bersama dengan menjadi penghubung antara Kerajaan Negeri dan mahasiswa di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Katanya Pepias bersama beberapa badan bukan kerajaan lain memulakan operasi Khidmat Bantuan Belia Siswa bagi menyalurkan bantuan keperluan harian dan makanan kepada mahasiswa yang masih berada di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Diharapkan inisiatif ini dapat membantu mengurangkan bebanan seluruh warga Selangor yang sedang melawan wabak Covid-19,” katanya.