Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas CIMB disahkan positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Seorang pekerja CIMB Group Holdings Bhd disahkan positif Covid-19 dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan.

Dalam kenyataan, kumpulan itu berkata mereka yang mempunyai kontak secara langsung dengan pekerja tersebut yang bertugas di pusat panggilan di Menara Southern Bank (MSB) sedang menjalani kuarantin di rumah sehingga diberikan kebenaran oleh petugas perubatan.

Katanya pusat panggilan itu  ditutup untuk kerja pembasmian kuman menyeluruh manakala pusat panggilan lain masih terus beroperasi.

“Penutupan sementara pusat panggilan di MSB itu memberi kesan kepada jumlah panggilan yang perlu dilayan pagi ini.

“Kami memohon kerjasama daripada semua pelanggan memahami situasi ini dan kami sedang berusaha memastikan pusat panggilan tersebut kembali beroperasi.

“CIMB mempunyai pelan kesinambungan perniagaan untuk ibu pejabat dan cawangan bagi memastikan perkhidmatan penting dapat dijalankan.

“Kami melaksanakan langkah berjaga-jaga untuk memastikan kesejahteraan pelanggan dan petugas kami,” katanya.

– BERNAMA