SELAYANG, 27 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengarahkan 24 premis perniagaan dan gerai penjaja ditutup dalam tempoh sembilan hari Perintah Kawalan Pergerakan hingga semalam, kata yang dipertuanya.
Shamsul Sharil Badliza Mohd Noor berkata ia daripada jumlah keseluruhan 1,091 premis diperiksa yang melanggar peraturan manakala 250 diberi notis amaran dan 470 lagi amaran lisan.
“Hasil pemeriksaan di beberapa kawasan melibatkan pasar raya dan kedai runcit, orang ramai masih berkerumun serta berkumpul di ruang kedai tanpa mengamalkan jarak sosial satu meter.
“Anggota MPS memberi amaran lisan kepada pemilik premis untuk memastikan kawalan pengunjung dipandang serius atau tindakan notis amaran akan dikeluarkan terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata keadaan sama berlaku di kawasan luar bangunan pasar awam sehingga memaksa anggota keselamatan MPS membuat pengumuman kepada orang awam untuk segera bersurai.
“Sekali lagi kita memberi amaran kepada mereka bagi memastikan kawalan lebih ketat terutama dari segi jarak sosial serta kebersihan.
“Bagi pemilik premis yang menjalankan operasi perniagaan tanpa kebenaran perlu menutup perniagaan mereka atau bakal berhadapan tindakan,” katanya.